Aug 12, 2010

meKaRKAN bAHaSA mELAyu

1) Bahasa Melayu telah di"miliknegarakan" menjadi Bahasa Malaysia dan telah diterima oleh bapa-bapa dan ibu-ibu yang mendirikan negara ini sebagai bahasa kebangsaan.Setelah sekian lama, ianya gagal untuk menjadi bahasa yang menyatukan rakyat Malaysia.

2) Kerajaan yang memerintah selama lebih 50 tahun gagal untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan agar disayangi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

3) Kegagalan ini sedikit sebanyak disebabkan oleh elit-elit Melayu yang menganggap bahawa bahasa kebangsaan hanya digunakan oleh masyarakat kelas bawahan. Ini ditambah lagi dengan pembikin-pembikin drama Melayu yang begitu gemar untuk mencampur adukkan penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam watak-watak utama mereka dan menganggap ini sebagai satu simbol kekayaan.
4) Saya pernah terdengar kawan-kawan yang berasal dari keluarga elit Melayu mengatakan bahawa di kawasan-kawasan seperti Bangsar, Damansara dan yang sewaktu dengannya, tidak sesuai untuk menganjurkan program dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai medium.
5) Ada seorang pimpinan tertinggi parti pembangkang pernah berkata, "tidak sesuai untuk menggunakan bahasa kebangsaan sebagai medium untuk program yang dianjurkan, oleh kerana majoriti yang hadir terdiri daripada masyarakat bukan Melayu".
6) Lalu saya bertanya, apakah orang-orang bukan Melayu itu dinafikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang seharusnya berbangga dengan bahasa kebangsaan mereka? Selain itu, saya juga terfikir, apakah berbaloi untuk memberikan undi kepada politikus seperti ini?
7) Saya akui bahawa Bahasa Malaysia gagal untuk menjadi kuat oleh kerana ianya bukanlah bahasa ekonomi sepertimana bahasa Jepun, Korea dan Indonesia.
8) Akan tetapi, jika kecintaan kepada negara tinggi, kerajaan boleh perlahan-lahan melaksanakan program bagi memantapkan kekuatan bahasa kebangsaan sekurang-kurangnya dalam aktiviti-aktiviti ekonomi yang melibatkan kerajaan secara langsung.
9) Selain itu, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama harus bangkit bersama-sama untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.
10) Memartabatkan bahasa kebangsaan bukan bermakna untuk menafikan kepentingan Bahasa Inggeris. Filipina adalah negara contoh yang baik dimana majoriti rakyatnya fasih berbahasa Inggeris dan dalam masa yang sama tidak melupakan Bahasa Tagalog sebagai Bahasa Kebangsaan mereka.
Sila lihat tulisan Karim Raslan yang mengupas kepentingan Bahasa Kebangsaan dan melihat perkembangan ekonomi Indonesia sedikit sebanyak akan membantu memperkuatkan Bahasa Malaysia disini. Maaf, tulisan ini dalam Bahasa Inggeris.

...
http://aminiskandar.blogspot.com/2010/08/bahasa-kebangsaan.html

0 comments:

Post a Comment